BANGGA DIRI atau kagum terhadap diri sendiri adalah penyakit hati yang membuat seseorang berasa selesa dan berlapang dada dengan pujian orang lain. Orang seperti itu menganggap dirinya paling baik dan sentiasa melebihi orang lain. Sikap bangga mendedahkan pelakunya kepada akibat buruk di sisi agama. Pengamalnya akan membudayakan takbur iaitu sifat yang jelek di sisi Allah.
Firman Allah bermaksud:
“Jangan kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang terlalu membanggakan diri.”
Surah Al-Qashash, ayat 76
Rasulullah saw bersabda bermaksud:
Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain.(Hadis Riwayat Muslim).
Islam menuntut umatnya beramal dengan sifat tawadduk dan hormat menghormati sesama Islam dengan demikian akan lahirlah sebuah masyarakat Islam yang harmoni.
Kedudukan orang Islam di sisi Allah adalah sama sahaja tarafnya. Oleh sebab itu Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan hendaklah menjauhkan sifat-sifat keji seperti membesar diri, bermegah dan sebagainya.
Sebenarnya bangga dan kagum diri sendiri adalah sifat Iblis yang memandang rendah Nabi Adam kerana dijadikan daripada tanah sedangkan dirinya daripada api.
Firman Allah bermaksud:
“Iblis berkata, aku lebih baik daripadanya (Adam), Engkau jadikan aku daripada api, sedangkan dia Engkau jadikan daripada tanah.”
Surah Saad, ayat 38
Orang yang terkena penyakit kagum diri dapat dilihat daripada beberapa tanda iaitu selalu memuji dan mengagungkan diri. Pada masa sama, ia melupakan firman Allah bermaksud:
“Maka jangan kamu mengatakan dirimu suci. Dialah (Allah) paling mengetahui orang yang bertakwa.”
Surah an-Najm, ayat 32
Kita juga dilarang memuji dan menyebut kebaikan diri.
Firman Allah bermaksud:
“Tidakkah engkau perhatikan (dan pelik wahai Muhammad) kepada orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah juga yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.”
Surah an-Nisaa, ayat 49
Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.
Seorang Muslim yang terkena penyakit bangga diri harus segera bertaubat dan berusaha menyembuhkan dirinya daripada penyakit hati itu. Cara dapat dilakukan supaya tidak terkena penyakit kagum ialah selalu ingat hakikat dan kejadian diri. Sesungguhnya kita adalah insan biasa yang tidak punya apa di dunia yang fana ini.
Wallahu A'lam.
"Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung."- Al-Israa' - 37
ReplyDeleteBaca kisah manusia sombong di sini
http://waazin.blogspot.com/2013/04/kerana-kesombongan-kapal-titanic.html