Di dalam diri manusia terdapat kekuatan yang maha hebat. Sekiranya seseorang itu tahu menggunakan kekuatan ini nescaya dia mampu membunuh manusia dengan tenungannya, meruntuhkan rumah, menjatuhkan kapal terbang dan menghancurkan kereta kebal dengan mengisyaratkannya dengan tangan. Paling-paling tidak, dia mampu menukarkan lampu isyarat merah kepada lampu hijau, membengkokkan sudu dan garpu dengan sebuah renungan dan mengetahui peristiwa-peristiwa yang akan terjadi.
Apakah ini mustahil? Ya, memang mustahil bagi orang yang tidak tahu menggunakan kekuatan terpendam yang terdapat di lubuk fikiran bawah sedarnya. Benarlah penyataan ahli kaji minda terkini yang melaporkan bahawa kebanyakan manusia menggunakan kurang dari satu peratus daripada kemampuan dan potensi mindanya. Manusia sudah boleh melahirkan perkara-perkara yang ajaib dan pelik sekiranya dapat menggunakan hanya 10% daripada keseluruhan kekuatan mereka yang sebenarnya.
Anda mungkin pernah mengalami, sewaktu terdetik di hati untuk menelefon rakan anda, tiba-tiba rakan anda itu pula yang menelefon anda. Atau ketika anda sedang berbual-bual tentang seseorang yang sudah lama tidak ditemui, tiba-tiba dia muncul lalu dikatakan "panjang umur"nya. Mungkin juga hati anda rasa tidak sedap dan mengagak akan terjadi sesuatu perkara yang tidak disenangi, kemudiannya peristiwa tersebut benar-benar terjadi. Itulah sebahagian daripada bukti-bukti kewujudan kekuatan terpendam di dalam diri kita.
Pada asasnya, manusia mempunyai dua jenis minda iaitu minda sedar dan minda bawah sedar. Di dalam minda bawah sedar atau minda terpendam inilah terdapat kekuatan yang luar biasa, menakjubkan dan tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia. Kekuatan bawah sedar ini boleh digunakan dan diarahkan untuk mencapai apa jua perkara yang dihajati seperti kewibawaan, kesembuhan, kecerdasan, kekuatan daya ingatan, wang, pangkat, pengaruh, pengasih, menurunkan berat badan, berhenti merokok, menghilangkan kegelisahan dan sebagainya.
Kini ilmu membangkitkan kekuatan dalaman sedang berkembang pesat di beberapa bahagian tertentu di dunia terutamanya di Eropah. Ia wujud dalam pelbagai bentuk dan nama. Antaranya dikenali dengan Ilmu Psikik, Deria keenam, Extra Sensory Power (ESP), Cosmic Power, Subconscious Mind Power, Telepathy dan sebagainya. Ilmu menggunakan kekuatan terpendam ini semakin giat dikaji oleh ahli-ahli psikologi terutamanya selepas perang dunia kedua. Terdapat pelbagai kaedah telah diamalkan oleh orang-orang yang ahli untuk melahirkan kekuatan ajaib ini. Ada melalui teknik bertapa, bermeditasi, berpuasa, bermuraqabah, ilmu pernafasan, hypnotisme, saranan diri dan sebagainya.
Adapun kaedah yang paling relevan dan mudah diamalkan ialah dengan melakukan saranan diri. Dinamakan juga auto-suggestion. Di sini kita menyarankan memberitahu dan menyakinkan kepada diri sendiri bahawa diri kita mempunyai kekuatan yang jauh lebih hebat dari yang disangkakan. Saranan diri mempunyai kuasa dan kekuatan dalam mempertingkatkan kemampuan minda dan memajukan diri.
Eksperimen ahli-ahli neurologi menunjukkan sel-sel otak boleh dikembang dan dicergaskan melalui saranan diri dan rangsangan. Sel-sel otak yang diaktifkan akan menjadi lebih subur dan cepat tumbesarannya. Bilangan sel 'gila' akan bertambah. Manakala hubungan antara saraf-saraf semakin kemas dan mantap. Proses ini akan memperkembangkan ketrampilan dan kecerdasan mental individu.
Dr. Joseph Murphy, pakar Ilmu Pemikiran Bawah Sedar menceritakan perihal seorang wanita berusia 75 tahun, mempunyai tabiat memberi saranan yang negatif kepada dirinya. Dia selalu berkata, "Kekuatan ingatanku semakin melemah sekarang". Memang benar, lama-kelamaan ingatannya menjadi betul-betul lemah. Selepas belajar menggunakan kekuatan minda terpendam, dia mula membuat saranan diri yang positif.
"Ingatanku bertambah baik dari hari ke hari. Aku mampu mengingati apa sahaja yang aku kehendaki pada sebarang masa dan tempat. Aku tidak akan lupa. Apa sahaja yang aku cuba ingatkan akan dapat diingati dengan tepat dan segera. Sekarang daya ingatanku meningkat dengan cepatnya pada setiap hari. Dalam tempoh yang singkat ingatanku akan bertambah baik, bahkan lebih baik daripada sebelum ini."
Dia melakukan saranan diri dengan penuh keyakinan dan hasrat yang menyala-nyala pada setiap hari. Pada akhir minggu ketiga, ingatannya pulih seperti sediakala. Dia begitu gembira. Begitulah besarnya kesan kuasa saranan diri. Dalam melakukan saranan diri, anda bebas memilih ayat dan perkataan sendiri. Gunakan apa jua ayat yang dirasakan berkesan untuk mempergaruhi dan menyakin diri sendiri bahawa kita mampu memperolehi apa yang dihajatkan.
Teknik Saranan Diri Yang Berkesan
Hajat atau matlamat yang hendak diperolehi mestilah jelas dan tepat.
Dilakukan dengan hasrat yang menyala-nyala, bersungguh-sungguh dan penuh harap.
Yakin sepenuhnya bahawa akan memperolehi apa yang kita sarankan kepada diri sendiri.
Berimanigasi bahawa kita sedang mendapat apa yang dihajati.
Konsisten, amalkan pada setiap malam sebelum tidur dan pagi selepas bangun dari tidur secara berterusan 6-7 minggu atau sehingga berjaya.
Salam sejahtera,
ReplyDeleteSaudari,
Kekuatan minda separa sedar itu bolehlah dinyatakan sebagai kuasa niat seperti diajar Islam.Manusia sebelum Islam amat mundur kemajuannya dan pemikirannya malah lebih teruk daripada zaman manusia awal zaman di mana mereka boleh membina piramid dan meninggalkan legasi yang cukup hebat sehinnga sekarang.Namun,perutusan Muhammad Bin Abdullah S.A.W berjaya mengubah hati mereka ataupun bolehlah dikatakan sebagai MINDA.Nabi mengubahnya dengan mengubah akhlak manusia.Hal ini bertepatan dengan sabda baginda :"SESUNGGUHNYA AKU TIDAK DIUTUS MELAINKAN UNTUK MENYEMPURNAKAN AKHLAK MULIA MANUSIA".Perubahan besar dalam sejarah kemanusiaan ini akhirnya melahirkan manusia era yang baru yang menjadikan kita lebih maju daripada moyang kita dahulu.Inilah legasi yang ditinggalkan Putera Abdullah menjadikan baginda Manusia Paling Berpengaruh Dalam Sejarah Dunia(THE 100:A rank of the most influential persons in history)Nabi tidak mengatakan minda tetapi Nabi mengatakan Qalb(hati)Saudari bolehlah mencari hadis tentang hati :"KETAHUILAH DALAM JASAD MANUSIA ITU ADA SEKETUL DARAH.JIKA BAIK BENDA ITU MAKA BAIKLAH SELURUH ANGGOTA.JIKA BURUK BENDA ITU MAKA BURUKLAH SELURUH ANGGOTA.KETAHUILAH(wahai manusia) ITU ADALH QALB(hati).Oleh itu lihatlah kuasa hati(minda) dalam mengubah diri.Namun perubahan yang Rasulullah lakukan terhadap hati manusia telah berjaya mengubah seluruh dunia sehinnga hari ini.Perubahan yang dilakukan masih bergerak aktif ketika saudari membaca kiriman ini.
Moga- moga saudari faham akan perkongsian saya.Jika ada yang saudari tidak setuju ataupun mahukan penambahbaikan bolehlah berhubung dengan saya di afiqhazwan97@gmail.com kerana pendapat ini dikeluarkan oleh remaja 16 tahun .Mungkin saudari lebih banyak ilmu daripada saya.
Sekian,
Assalamualaikum dan selamat dunia akhirat.