Tuesday 24 June 2014

Keindahan Malam Pertama Bulan Ramadhan Dan Malam 1 Syawal






Dari Ibnu Abbas r.a., beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda;


“Sesungguhnya syurga itu wangi dan dihiasi dari tahun ke tahun untuk menyambut bulan Ramadhan. Bila malam pertama pada bulan Ramadhan datang, maka akan bertiup angin dari bawah ‘Arsy, yang disebut angin ‘al-Mutsirah’. Maka daun-daun di pokok-pokok syurga bergesel, begitu juga daun-daun pintu sehingga menimbulkan dengungan suara yang sangat merdu yang belum pernah didengar oleh pendengar sebelumnya.



Lalu muncullah para bidadari berdiri di halaman syurga, lalu mereka menyeru, “Adakah orang yang memohon kepada Allah سبحانه وتعالى agar Dia mengahwinkan Daku dengannya?” Lalu bidadari itu berkata, “Ya Ridwan (penjaga syurga), malam apakah ini?”Maka Ridwan menjawab mereka dengan talbiyah, ia berkata, “Ini malam pertama bulan Ramadhan.” Maka pintu-pintu syurga dibuka untuk orang-orang yang berpuasa dari umat Muhammad ﷺ.



Rasulullah ﷺ bersabda, “Allah سبحانه وتعالى berfirman, “Wahai Ridwan! Bukalah pintu-pintu syurga; dan wahai Malik! Tutuplah pintu-pintu neraka bagi orang-orang yang berpuasa dari umat Muhammad. Wahai jibril! Turunlah ke bumi. Rantailah syaitan-syaitan dan belenggulah mereka dengan rantai. Lalu lemparkanlah mereka ke dalam lautan supaya tidak mengganggu puasa umat Muhammad, kekasih-Ku.”



Baginda ﷺ bersabda, “Allah سبحانه وتعالى berfirman pada setiap malam di bulan Ramadhan kepada seorang penyeru agar menyeru tiga kali; “Adakah orang yang memohon? Maka akan Daku penuhi permohonan-nya; Adakah orang yang bertaubat? Maka akan Daku terima taubatnya; Dan adakah orang yang meminta ampun? Maka Daku akan mengampuninya. Dan sesiapa yang memberi pinjaman kepada Yang Maha Kaya, maka ia tidak akan mengalami kekurangan, dan Dialah Yang Memenuhi Janji tanpa menganiaya.”


Baginda ﷺ bersabda, “Setiap hari pada bulan Ramadhan, iaitu ketika berbuka puasa, Allah سبحانه وتعالى akan membebaskan sejuta roh dari neraka yang telah diwajibkan masuk neraka. Dan pada hari terakhir bulan Ramadhan, maka Allah سبحانه وتعالى akan membebaskan roh sebanyak yang telah Dia bebaskan dari awal hingga akhir Ramadhan.”


Dan bila tiba malam Lailatul-Qadar, Allah سبحانه وتعالى akan memerintahkan Jibrail turun ke bumi bersama sekumpulan malaikat yang membawa bendera hijau dan meletakkan bendera itu di puncak Kaabah. Malaikat Jibril mempunyai seratus sayap, dua sayap di antaranya tidak pernah dibentangkan kecuali pada malam itu. Lalu ia membentangkan kedua-dua sayap itu pada malam tersebut, sehingga meliputi Timur dan Barat. Lalu Jibril mengerahkan para malaikat supaya memberi salam kepada setiap orang yang sedang berdiri, duduk, solat, dan berzikir. Para malaikat akan berjabat tangan dengan mereka dan mengaminkan doa-doa mereka hingga terbit fajar.


Apabila fajar terbit, Jibril menyeru para malaikat, “Wahai para malaikat! Pulanglah!”

Para malaikat bertanya, “Wahai Jibril, apakah yang akan Allah سبحانه وتعالى perbuat berkaitan dengan hajat-hajat orang-orang yang beriman dari umat Muhammad?”

Jibril berkata, “Allah سبحانه وتعالى memandang mereka pada malam ini dan mengampunkan mereka kecuali empat golongan manusia.”


Maka kami (sahabat r.a.) bertanya, “Ya Rasulullah! Siapakah mereka itu?”

Baginda ﷺ bersabda, “Mereka adalah orang yang meminum arak, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, orang yang memutuskan tali silaturahim dan yang memusuhi.”

Kami bertanya, “Ya Rasulullah! Siapakah yang memusuhi itu?”

Sabda Baginda ﷺ, “Iaitu orang yang membenci dan memutuskan persaudaraannya.”




Malam ‘Lailatul Jaizah’ (Malam Penerimaan Hadiah)

Jika malam hari raya tiba, maka malam itu dinamakan ‘Lailatul Jaizah’ (Malam Penerimaan Hadiah). Dan ketika tibanya Hari Raya Aidil Fitri pada hari esoknya, maka Allah سبحانه وتعالى mengutus para malaikat ke setiap negeri dan turun ke bumi. Mereka memenuhi setiap jalan dan menyeru dengan suara yang didengari oleh semua makhluk Allah سبحانه وتعالى kecuali jin dan manusia.


Mereka berkata, “Wahai umat Muhammad! Keluarlah menuju Tuhan Yang Maha Mulia, Yang akan mengurniakan hadiah dan mengampuni dosa-dosamu yang besar.”


Apabila mereka datang ke surau mereka, maka Allah سبحانه وتعالى berfirman kepada para malaikat, “Apakah balasan bagi seorang pekerja apabila telah menyelesaikan pekerjaannya?”


Sabda Baginda ﷺ, “Para malaikat berkata, ‘Wahai Tuhan kami! Balasannya adalah upah sepenuhnya.’“


Baginda ﷺ bersabda, “Maka Allah سبحانه وتعالى berfirman, “Sesungguhnya Daku jadikan kamu sebagai saksi wahai para malaikat-Ku, bahawa sesungguhnya Daku telah memberikan redha dan ampunan-Ku sebagai balasan kepada mereka kerana puasa mereka pada bulan Ramadhan, dan kerana solat-solat malam mereka.”


Lalu Allah سبحانه وتعالى berfirman, “Wahai hamba-hamba-Ku. Mohonlah kepada-Ku, maka demi kemuliaan-Ku dan kebesaran-Ku, tidaklah kamu meminta sesuatu kepada-Ku di pertemuan ini untuk akhiratmu kecuali Daku akan memberimu. Dan tidak juga untuk keperluan duniamu kecuali Daku akan memandang permaslahanmu. Maka demi kemuliaan-Ku, pasti akan Daku tutupi kesalahan-kesalahan kamu selama kamu takut kepada-Ku. Demi kemuliaan-Ku dan keagungan-Ku, Daku tidak akan menutup dan tidak akan Daku perlihatkan segala keaibanmu di depan orang-orang yang melanggar batas. Bertebaranlah kamu dengan membawa ampunan. Sungguh kamu telah redha kepada-Ku, dan Daku pun redha kepada kamu.”


Para malaikat pun merasa gembira dan bersukacita, kerana Allah سبحانه وتعالى telah memberi kurniaan kepada umat ini, pada ketika mereka sedang berhari raya Aidil Fitri selepas Ramadhan.”


(H.R. Ibnu Hibban, Baihaqi)



Sumber : Shafiqolbu

Terima Kasih Sudi Komen dan Singgah blog Aina's Closet

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Beli Belah Di sini

 
♥ Copyright © 2013 reserved to Myself. Template Edited by Cik Rose Cute