Friday, 18 July 2014

Amalan Terbaik 10 Hari Terakhir Ramadhan





Assalaamualaikum.Masa berlalu  begitu pantas kini kita telah sampai ke penghujung bulan Ramadhan bulan yang penuh keberkatan.Sambil kita sibuk membuat persiapan untuk menyambut hari raya yang bakal tiba jangan pula kita leka dan lupa untuk merebut peluang menggandakan pahala semaksima mungkin dengan  melakukan amalan-amalan terbaik 10 hari terakhir Ramadhan seperti berikut :



1.Mandi antara Maghrib dan Isyak kemudian memakai pakaian yang paling baik dan memakai haruman.


Ibnu Abi Asim meriwayatkan daripada Aisyah RA:


 “Rasulullah SAW jika berada dalam Ramadan baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun. Tatkala memasuki 10 hari terakhir baginda mengikat kainnya dan menjauhkan diri daripada bersama-sama isterinya serta baginda mandi antara Maghrib dan Isyak”. (Ada riwayat Abu Hurairah yang menyokong hadis ini)


Dalam riwayat lain daripada sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada zaman tabiin menyatakan mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian apabila berada pada akhir Ramadan.


Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan tabiin ini adalah satu usaha menyambut dan meraikan kedatangan lailatulqadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.


Justeru pada malam-malam terakhir Ramadan, di samping mencari lailatulqadar dianjurkan membersihkan diri serta memakai wangian dan haruman sebagaimana ia turut dianjurkan ketika Aidilfitri dan Aidiladha.


2.Mencari lailatulqadar

Umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut lailatulqadar. Hal ini bertepatan dengan sabda baginda yang bermaksud: “Carilah malam lailatulqadar pada 10 malam terakhir.” (Riwayat Bukhari)


Dalam satu riwayat dikatakan Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.


Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan Allah daripada ditimpakan azab itu.


Solat berjemaah juga perlu diutamakan pada malam-malam akhir Ramadan. Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia mengambil menghidupkan seluruh malam itu.” (Riwayat Abu Daud)


Maksudnya sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap sudah mendapat sebahagian apa yang dimaksudkan dengan lailatulqadar, apatah lagi jika mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.


3.Melewatkan sahur

Daripada Sahl ibn Sa’d katanya:

 “Sesungguhnya aku pernah bersahur bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama Rasulullah SAW.” (Riwayat Bukhari)

Perlakuan ini turut diceritakan oleh Zaid ibn Thabit dengan katanya: “Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW, kemudian kami bersolat dengan baginda.”

Lantas Anas bertanya: “Berapakah jarak di antara sahur itu dengan solat?” Zaid menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (Riwayat Bukhari)


4.Melakukan iktikaf

Iktikaf adalah sunah yang dianjurkan baginda SAW demi memperoleh kelebihan dan ganjaran lailatulqadar (malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan).


Firman Allah dalam surah al-Qadr bermaksud: 

“Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) pada malam lailatulqadar dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut): Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1 - 5)


Menjelang 10 malam akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktunya dengan beriktikaf di masjid.


Pelakuan baginda ini berdasarkan hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW beriktikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah kemudian (diteruskan sunah) iktikaf selepas kewafatannya oleh kalangan isterinya.


Dalam sebuah hadis lain, Abu Hurairah RA berkata: 

“Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada setiap 10 hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun baginda diwafatkan, baginda beriktikaf selama 20 hari.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi dan dinilai sahih oleh Tirmidzi)


5. Membanyakkan doa

Ulama bersepakat doa paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT.

Dalam satu hadis sahih diriwayatkan daripada Aisyah RA dan dikeluarkan al-Imam at-Tirmidzi dan dinilai hasan sahih, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.


Doanya berbunyi:

“Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa’ fu anni.” Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku.”


Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud:


 “Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari aku bertemu dengan-Mu Kelak.” (Musannaf Ibn Abi Syaibah)

Marilah kita sama-sama mengharapkan agar bertemu dengan malam penuh berkat itu. Ya Allah kurniakan kami malam lailatulqadar!




Terima Kasih Sudi Komen dan Singgah blog Aina's Closet

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Beli Belah Di sini

 
♥ Copyright © 2013 reserved to Myself. Template Edited by Cik Rose Cute