Sunday 5 May 2013

Seberat Gunung Atau Seringan Hinggapan Lalat






Siapakah yang tidak pernah melakukan kesalahan? Sungguh, manusia tidak pernah lepas dari palitan dosa. Allah hanya menjamin manusia mulia, iaitu para Nabi dan Rasul, daripada sebarang kesalahan dan dosa. Tidak pada diri kita.



Justeru, apabila membincangkan soal dosa, Rasulullah s.a.w. mengajar kita bagaimana cara melihat atau memandang dosa. Malahan, cara melihat dosa itu akan mempengaruhi hasil yang kita perolehi, iaitu sama ada pertambahan iman ataupun terus kekal hidup berdosa.



Daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ، وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ


Maksud: Sesungguhnya orang yang beriman itu melihat dosanya seakan-akan dia duduk di bawah sebuah gunung yang hendak menghempapnya. Tetapi bagi para pendosa, melihat dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya.
(al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 5, hlm. 2324, no. hadith: 5949)



Apabila kita melihat dosa-dosa yang kita lakukan dengan cara pandangan orang beriman, maka hati kita akan bertambah gelisah. Kita akan cemas dan khuatir sekali kerana gunung besar boleh bila-bila sahaja menghempap kita. 



Mari kita bayangkan situasi begini. Semasa kita memandu kereta di lebuh raya, hujan turun begitu lebat. Tiba-tiba tanah menderu runtuh di hadapan kita dan kereta kita terperangkap, tanpa boleh keluar menyelamatkan diri. Kemudian, kita melihat di atas bukit itu, batu-batu besar sudah bergerak-gerak perlahan untuk jatuh. Bagaimanakah perasaan ketika itu? Cemas mungkin bukan perkataan yang sesuai lagi untuk menceritakan gemuruh hati menanti maut.



Begitulah sewajarnya cara kita melihat dosa-dosa kita. Ia akan membibitkan ingatan kita kepada Allah. Hanya Allah sahaja yang boleh menyelamatkan kita dari runtuhan batu itu. Rasa bimbang, takut dan gelisah itu akan memaksa diri kita bertaubat. Apatah lagi apabila kita mengenang satu persatu rakaman dosa dalam hidup kita.



Akan lebih kecut hati apabila membayangkan satu batu bergerak menggolekkan batu yang lain untuk menghempap kita. Bayangan dosa yang mengejar kita akan dihambat dengan istigfar, memohon ampunan dari Allah. Makin hari semakin takut. Takut batu yang ingin menghempap kita semakin bertambah besar. Rasa inilah yang menyelamatkan kita. Selamat dengan bertaubat.



Bayangkanlah pula, andai kita melakukan dosa tetapi tidak terasa ia adalah dosa. Walaupun tahu ia berdosa, kita menolak ia ketepi. Hati kata tidak mengapa, taubat boleh diatur nanti. Bagaikan kita menghalau lalat yang terbang ke hidung. Tangan menepis kerana serba sedikit ia mengganggu, namun hidup penuh siri dosa tetap diteruskan. Memang tercebis sedikit rasa bersalah, namun mata memejamnya. 
Teruskan. Lakukan lagi. Buang rasa bersalahmu, itu getus hati. 



Cara pandang begini, tidak akan membawa kita ke jalan taubat. Kita akan merasakan yang Allah lambat lagi bertindak ke atas kita. Kita rasakan Allah masih boleh memberi peluang hidup kepada kita. Lebih dahsyat lagi apabila kita merasa Tuhan tidak akan berbuat apa-apa pada dosa yang kita lakukan. Kita merasakan, sudah berpuluh tahun melakukan dosa, kita masih lebih selesa, kaya dan bahagia daripada orang yang taubatnya tiap saat.



Saudaraku, pada setiap hari, kita tidak luput dari melakukan kesalahan. Pilihlah bagaimana caranya kita melihat butir-butir dosa itu dalam diari hidup kita. Meneropong dengan pandangan orang beriman ataupun dengan pandangan para pendosa tegar! Itu pilihan kita.



Terima Kasih Sudi Komen dan Singgah blog Aina's Closet

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Beli Belah Di sini

 
♥ Copyright © 2013 reserved to Myself. Template Edited by Cik Rose Cute