Friday, 18 July 2014

Amalan Terbaik 10 Hari Terakhir Ramadhan





Assalaamualaikum.Masa berlalu  begitu pantas kini kita telah sampai ke penghujung bulan Ramadhan bulan yang penuh keberkatan.Sambil kita sibuk membuat persiapan untuk menyambut hari raya yang bakal tiba jangan pula kita leka dan lupa untuk merebut peluang menggandakan pahala semaksima mungkin dengan  melakukan amalan-amalan terbaik 10 hari terakhir Ramadhan seperti berikut :



1.Mandi antara Maghrib dan Isyak kemudian memakai pakaian yang paling baik dan memakai haruman.


Ibnu Abi Asim meriwayatkan daripada Aisyah RA:


 “Rasulullah SAW jika berada dalam Ramadan baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun. Tatkala memasuki 10 hari terakhir baginda mengikat kainnya dan menjauhkan diri daripada bersama-sama isterinya serta baginda mandi antara Maghrib dan Isyak”. (Ada riwayat Abu Hurairah yang menyokong hadis ini)


Dalam riwayat lain daripada sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada zaman tabiin menyatakan mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian apabila berada pada akhir Ramadan.


Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan tabiin ini adalah satu usaha menyambut dan meraikan kedatangan lailatulqadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.


Justeru pada malam-malam terakhir Ramadan, di samping mencari lailatulqadar dianjurkan membersihkan diri serta memakai wangian dan haruman sebagaimana ia turut dianjurkan ketika Aidilfitri dan Aidiladha.


2.Mencari lailatulqadar

Umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut lailatulqadar. Hal ini bertepatan dengan sabda baginda yang bermaksud: “Carilah malam lailatulqadar pada 10 malam terakhir.” (Riwayat Bukhari)


Dalam satu riwayat dikatakan Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.


Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan Allah daripada ditimpakan azab itu.


Solat berjemaah juga perlu diutamakan pada malam-malam akhir Ramadan. Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia mengambil menghidupkan seluruh malam itu.” (Riwayat Abu Daud)


Maksudnya sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap sudah mendapat sebahagian apa yang dimaksudkan dengan lailatulqadar, apatah lagi jika mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.


3.Melewatkan sahur

Daripada Sahl ibn Sa’d katanya:

 “Sesungguhnya aku pernah bersahur bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama Rasulullah SAW.” (Riwayat Bukhari)

Perlakuan ini turut diceritakan oleh Zaid ibn Thabit dengan katanya: “Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW, kemudian kami bersolat dengan baginda.”

Lantas Anas bertanya: “Berapakah jarak di antara sahur itu dengan solat?” Zaid menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (Riwayat Bukhari)


4.Melakukan iktikaf

Iktikaf adalah sunah yang dianjurkan baginda SAW demi memperoleh kelebihan dan ganjaran lailatulqadar (malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan).


Firman Allah dalam surah al-Qadr bermaksud: 

“Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) pada malam lailatulqadar dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut): Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1 - 5)


Menjelang 10 malam akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktunya dengan beriktikaf di masjid.


Pelakuan baginda ini berdasarkan hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW beriktikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah kemudian (diteruskan sunah) iktikaf selepas kewafatannya oleh kalangan isterinya.


Dalam sebuah hadis lain, Abu Hurairah RA berkata: 

“Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada setiap 10 hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun baginda diwafatkan, baginda beriktikaf selama 20 hari.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi dan dinilai sahih oleh Tirmidzi)


5. Membanyakkan doa

Ulama bersepakat doa paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT.

Dalam satu hadis sahih diriwayatkan daripada Aisyah RA dan dikeluarkan al-Imam at-Tirmidzi dan dinilai hasan sahih, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.


Doanya berbunyi:

“Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa’ fu anni.” Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku.”


Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud:


 “Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari aku bertemu dengan-Mu Kelak.” (Musannaf Ibn Abi Syaibah)

Marilah kita sama-sama mengharapkan agar bertemu dengan malam penuh berkat itu. Ya Allah kurniakan kami malam lailatulqadar!




Terima Kasih Sudi Komen dan Singgah blog Aina's Closet

Saturday, 12 July 2014

12 Kesilapan Kerap Kita Lakukan Di Bulan Ramadhan




1. Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam)

Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)


2. Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam

Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)


3. Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain

Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)


4. Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. 

Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.


5. Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. 

Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.


6. Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. 

Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)


7. Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. 

Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.


8. Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. 

Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)


9. Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. 

Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)


10. Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat.

Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.


11. Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. 

Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-


ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ


Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.


12. Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka

Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-


ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم


Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)


Sumber :
zaharuddin.net



Terima Kasih Sudi Komen dan Singgah blog Aina's Closet

Monday, 7 July 2014

MARI MAKSIMUMKAN BONUS RAMADHAN





Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-



1. Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.


2. Bersahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). 

Nabi SAW bersabda :

" Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).

Selain itu, Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).

Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).


Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).


Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.



3. Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.



4. Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.

Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaimana di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-

ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع

Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar,

Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم

Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)



5. Memperbanyakkan doa ketika hampir berbuka

Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :

إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد

Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)



6. Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.


Berdasarkan hadith Nabi SAW :

لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر

Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).


Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita.


Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).



7.  Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.

كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏ ‏حسوات ‏ ‏من ماء

Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi)

Sambil membaca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu

ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله

" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"

Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah urat leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.




8.  Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin


Nabi SAW bersabda :

‏من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا

Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).


Disebut dalam sebuah hadis lain

ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة

Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )



9.  Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. 



Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih. Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.



10.  Bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.



11.  Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur :


Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).


Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)


Sumber : Dr. Zaharuddin Abd Rahman









Terima Kasih Sudi Komen dan Singgah blog Aina's Closet

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Beli Belah Di sini

 
♥ Copyright © 2013 reserved to Myself. Template Edited by Cik Rose Cute